Followers

Tuesday, 17 September 2019

Panduan asas cara membina ayat bahagian A

Teks: Mazlina binti Omar

Sesi pengajaran dan pembelajaran diteruskan. 

Sekarang Ina akan menerangkan tentang Bahagian A Bina Ayat. 

Jumlah soalan: Satu
Bahan Rangsangan: Satu
Masa Menjawab: 15 minit

Jumlah perkataan: Tiada had.

Markah Penuh: 10 markah

Arahan Soalan:

✍🏿Menulis 5 ayat yang lengkap dengan berdasarkan bahan rangsangan yang diberikan.

✍🏿Jika arahan soalan,  'Tulis lima ayat bagi setiap gambar', maka satu gambar hanya boleh ditulis SATU ayat sahaja. Jika murid menulis dua ayat bagi satu gambar yang sama, maka tiada markah untuk ayat yang kedua.

✍🏿Ayat yang dibina boleh diletakkan dengan nama watak seperti Maryam, Siti, Ahmad dan lain-lain.

✍🏿Penggunaan kata nama am dan kata nama khas sebagai subjek diterima.

✍🏿Ayat yang ditulis dan dibina mestilah gramatis, iaitu strukturnya menepati rumus tatabahasa.

✍🏿 Isi atau idea mestilah mengandungi subjek dan peluasan predikat ATAU peluasan subjek dan peluasan predikat.

✍🏿Gunakan nombor 1,2,3,4 dan 5 bagi setiap ayat. Sebaik-baiknya selang sebaris untuk menjarakkan ayat 1 dan 2 supaya lebih kemas.

✍🏿Ayat yang dibina mestilah menggunakan idea yang berbeza. Elakkan mengulang isi.

✍🏿Setiap ayat mestilah mengandungi isi atau idea yang tersurat dengan berdasarkan grafik.

Jenis bahan rangsangan:
❤Gambar tunggal
❤Gambar bersiri
❤Carta
❤Peta i-Think
❤Jadual
❤Gambar rajah
❤Poster
❤Iklan
❤Lain-lain


Perkara HARAM semasa membina ayat: ✍🏿HARAM bermaksud larangan semasa membina ayat.

✍🏿Haram menulis  seperti 'Gambar di atas menunjukkan......'

✍🏿Haram menulis kata ganti nama diri 'Saya' seperti 'Keluarga saya'.

✍🏿Haram membina ayat dengan menulis masa seperti 'Pada pukul 3.00 petang'.

✍🏿Haram menggunakan penanda wacana seperti 'Seterusnya, bapa Mazlina mengangkat barang ke dalam rumah'.

✍🏿Haram menulis pakaian berwarna seperti 'Razlan memakai baju merah'.

Semua perkara "haram" di atas menjadi “wajib tulis” jika dinyatakan dalam soalan. Pemarkahan LPM sentiasa berubah-ubah...... oleh itu, mak-mak dan calon-calon mesti sentiasa alert.

Penggunaan kata bantu 'sedang' masih diterima dalam UPSR 2017 dan 2018, justeru penggunaanya masih boleh digunakan hingga tahun ini, 2019. Jangan mengulangi perkataan 'sedang' untuk setiap ayat.

Jom Mengajar Anak di Rumah!

BM Penulisan Bahagian A (Bina Ayat)

Teks: Mazlina Omar

Perkongsian hari ini mengenai 'Bagaimana mengajar anak-anak menomborkan skrip bina ayat jika, bahan rangsangan (gambar) yang diberikan tidak bernombor.'

Lihat contoh gambar berikut:



Berdasarkan gambar di atas, gambar pokok kelapa sebaiknya diambil sebagai ayat nombor 1. Hal ini kerana, pokok kelapa merupakan asas kepada gambar-gambar yang lain. 

Mak-mak boleh beritahu anak-anak, panduan menomborkan ayat kedua adalah dengan melihat gambar pertama mengikut arah putaran jam, justeru itu, gambar air kelapa sesuai dinomborkan dengan nombor 2.

Boleh ya, mak-mak sekalian. 

Alang-alang  berkongsi gambar di atas Ina lampirkan jawapan sekali ya.

Gambar pokok kelapa.
1. Pokok kelapa ialah pokok seribu guna kerana setiap bahagiannya mempunyai keistimewaan yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan manusia. 

Gambar air kelapa
2. Air kelapa sangat manis dan ramai menggemarinya kerana minuman ini boleh menyejukkan badan. 
2. Kelapa muda enak dijadikan minuman ketika cuaca panas kerana airnya dapat menyejukkan badan dan melegakan tekak. 

Gambar tempurung
3. Tempurung kelapa boleh dijadikan barangan kraf tangan seperti pasu hiasan di rumah agar kelihatan lebih ceria. 

Gambar santan
4. Isi kelapa yang telah diparut menghasilkan santan yang digunakan untuk memasak pelbagai jenis lauk dan kuih tradisional Melayu. 

Gambar ketupat
5. Daun kelapa dianyam untuk digunakan sebagai bungkusan ketupat, lidinya pula boleh digunakan untuk membuat sate. 

Panduan asas cara membina ayat bahagian A

Teks: Mazlina binti Omar Sesi pengajaran dan pembelajaran diteruskan.  Sekarang Ina akan menerangkan tentang Bahagian A Bina Ayat.  J uml...

Tajuk Jurnal